Pls click my sponsor

Sebutharga Kem Lambaian Danau

Sila Penuhkan Borang Untuk Mendapatkan Sebutharga Dari Kami. KLIK Sini Untuk Ke Borang!

Monday, April 26, 2004

Laporan Sekolah Tinggi Melaka..

Laporan ini ditulis oleh Dino

Aku sebenar-benarnya taklah rajin tangan untuk menaip panjang-panjang untuk dua blog. Tapi, alangkah kerana aku ini fasi kem, maka wajiblah aku merajinkan diri supaya tak dipotong gaji :)

Sekolah Tinggi Melaka adalah salah satu daripada pelanggan tetap kem. Mereka banyak habis duit di kem ini . Sekolah Tinggi Melaka, adalah sebuah sekolah yang hanya mempunyai pelajar lelaki sahaja. Sebab itulah aku datang :)

Amende la aku mengarut ni..

Ok, peserta kali ini terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu dan Dua. Kebanyakan daripada mereka adalah daripada pelajar-pelajar projek khas. Pelajar cemerlang lah ni. Aku sukakan pelajar sekolah tinggi kerana mereka kebiasaannya adalah amat berdisiplin. Dan nampaknya pelajar-pelajar yang datang ini begitu juga.

Kak G dah melaporkan sehingga aktiviti water confident dan kayak. Aku sambung lagi kepada aktiviti waktu petang. Petangnya, kumpulan-kumpulan ditukar aktiviti. Mana-mana yang dah berkayak, perlu pergi ber'jungle tracking' pula. Mana-mana yang dah 'berjungle tracking',perlu pergi berkayak pula. Fasi yang sama bertugas. Aku dan Rauf serta Pak Man jaga water confident, Cikgu Bad dan Cica jaga kayak. Ruddy, Agus, Muafa, Khalid dan Pak Let jaga jungle tracking. Pak Aji, Jepun dan Toyak, geng dapur siapkan masakan. Aku jaga kejap je petang itu, pasal aku tidur

Solat mereka waktu Zohor dan Asar diimamkan oleh imam-imam mereka sendiri. Bukan apa, mau melatih anak-anak muda ini suapaya mampu menjadi ketua. Bukankah melalui solat jamaah itu dapat melatih menguruskan sebuah organisasi? Aku sementelahan, tengah sembang kat pangkin :)

Lebih kurang jam 5.30 petang, Pak Let datang pangkin. Minta Khalid dan aku supaya ambil Kak G di rumah. "Ada kawan korang datang, Dino.." kata Pak Let pada aku. Khalid gegas naik kereta Toyotanya, berteman aku, terus ke Jasin. Kitorang ambil akak dan bawa ke kem. Rupanya Ir-awok yang datang. Bertemankan seorang rakan yang lain.

Tetamu dijemput ke Dewan Makan. Di dewan makan serba sederhana inilah kami menyambut tetamu yang datang. Maaf, kami tak punya set meja makan mewah daripada Itali. Tapi bangku buatan Malaysia yang dibuat sendiri. Waktu kami keluar mengambil Kak G, kami sempat singgah membeli biskut untuk peserta. Dan juga aiskrim potong untuk kami sendiri.. :) Ais krim potong itulah yang kami hidangkan untu Ir-awok dan rakan. Eh, kami tak gila. Itulah mesra namanya. Bukankah seorang sahabat yang baik itu melayan saudaranya sebagaimana melayan dirinya sendiri? Ais krim kami makan, ais krim jua kami hidangkan :)

Kak G cakap aku pemalu depan perempuan. Ir-awok ugut aku, dia taknak baca lagi blog aku pasal aku tak tegur dia. Wah, mentang-mentangla aku ini sopan orangnya, korang sedap-sedap saja mengutuk aku,ya? Tak adalah, aku bukan pemalu, bukan juga penyegan. Aku cuma jaga adat sopan. Depan perempuan, kita kena lebih sopan daripada cipan. Betul Mat Jan, kan?

Perempuan memang banyak cakap. Tak cukup mengutuk bersembang kat dapur, dipanjangkan lagi topik ke pejabat. Aku mana bisa layan perkara-perkara tak berfaedah seperti itu. Aku lelaki. Lelaki kena buat kerja berfaedah. Aku buat-buat sibuk. Khemah yang aku jemur dipijak orang. Aku ambil khemah itu dan basuh di jeti pejabat. Aku tolong ruddy dan Cica basuh kayak. Sedar-sedar Ir-awok dan rakan dah pulang. Wah, sungguh berkarisma aku. Langsung tak layan perempuan.

Maghrib dah nak masuk. Mandi dan siap untuk jadi imam. Sebab Cikgu Zul tiada, aku naik pangkat jadi imam satu. Peserta seramai 160 tak mampu diimamkan disurau, jadi kami solat di dewan makan. Dewan makan dah dibersihkan dan dihampar tikar dan sejadah. Mereka azan, igamah dan aku jadi imam. Selesai solat, tiada kuliah panjang, sekdar tazkirah. Peringatan tentang pentingnya menghormati solat. Diam waktu berada di tempat solat, mengapa perlu mengaminkan surah Al-fatihah bersama imam.

Selesai solat, makan. Pabila jadi fasi untuk peserta bawah 15 tahun, kami kena jadi serba-serbi. Bab makan, kami perlu sendukkan nasi dan kuah. Perlu tuangkan air. Suruh mereka tunggu rakan sehingga semua selesai ambil makanan. seorang daripada baca doa dan barulah semua boleh makan. Kerana mecontohi sunnah dan berdisiplin itu bukan sahaja waktu rasmi, malahan ketika semua waktu termasuk waktu makan.

Selesai makan, mereka bersihkan dewan makan , dan bersedia untuk solat Isyak. Kebanyakan fasi sewaktu peserta makan, akan pulang ke pejabat. Kami baca akhbar dan juga tengok tv sementara tunggu isyak. Isyak masuk, dan kami solat.

Selepas solat isyak, peserta-peserta pulang kehmah dan tukar pakaian. Encik Nordin tiba dan beri ceramah. Kami biasala, depan tv, tengok bola

Usai ceramah, aktiviti night walk bermula. Ini adalah aktiviti yang aku suka. Pasal aku suka jadi hantu. Tapi malam itu, aku ditegah jadi hantu dengan khalid. Aku perlu kejutkan mereka subuh besok. Jam 5.30 pagi. Jadi, aku diminta tidur awal. Ok, ok. Aku tak pergi, tapi aku tetap tak tidur juga.

Untuk kali yang pertama dalam sejarah kem, berlaku satu kemalangan. Seorang peserta cedera di muka dipijak rakan-rakan yang ketakutan. Rakan-rakan mereka juga yang menakutkan mereka. Kami tidur lewat malam itu. Semua runsing-runsing dan gelisah. Hendak marahkan yang membuat hal, kasihan juga kerana mereka masih di perangkat awal remaja, masih butakan makna tanggungjawab. Masih fikir mahu main-main. Alhamdulillah, Muafa, Toyak dan Pak Man pulang, dan pelajar tersebut lihatnya tidaklah begitu teruk. Cedera sedikit di dahi,pipi. Cuma yang jelas, bekas tapak kaki di muka. Apa ertinya rakan, bilamana payah, sanggup dijahati rakan sendiri semata-mata kepentingan diri..

Dan kami belajar erti berhati-hati.. malang datangnya tak berbau..




Sabtu

Aku bangun agak lewat. Sepatutnya jam 5.30 , tapi bangunnya jam 5.55 pagi. Budak-budak itu semuanya nampak lena. Terkejut juga pabila aku melihat ada makhluk yang terbongkok-bongkok. Apakah itu? Oh, penghulu. Bagus penghulu ini. Cuma lembut sangat cara mengejutkan 'orang-orang yang tengah letih'.

"Bangun! Bangun! Abang pagi kamu masa sepuluh minit bersedia untuk solat! " Aku berjerit dua tiga kali. Barulah dengar budak-budak ini bergegas. Lewat lima belas minit, masih ada yang lewa. Aku jadi geram. "Abang bilang sampai tiga puluh. Kalau tak keluar juga khemah, pumping 100 kali!" Makin ramai yang keluar. Inikah anak harapan negara? Melayu yang layu jika tak digertak, disergah?

Fikir aku main-main, cukup 30, masih ada yang berlenggang. Aku suruh mereka berhenti berjalan dan berkumpul di Dataran Insan. Aku minta yang dah di Dewan, azan dan iqamah. Aku tenung muka-muka yang lambat dan suruh mereka naik ke atas. Aku juga naik dan mengimami mereka. Selesai solat, ada tazkirah pendek. Suara dikuatkan sedikit. Menyedarkan mereka yang masih 'tertidur'. Zahir dan batin. Teguran lembut sahaja sebenarnya. Pentingnya solat. betapa main-main di awal pagi akan bawa main-main ke seluruh hari. Aku tegur mereka yang berlengah-lengah dalam bersembahyang. Jika bersembahyang pun berlengah-lengah, belajar apatah lagi. Dan bayangkan andai tuhan lengah-lengah nikmat pancaindera kita setiap awal pagi. Bangun jam lima, cuma boleh melihat jam tujuh pagi.. Kun fayakun..

Ada dua belas orang semuanya. Yang dalam hati aku sebenarnya penuh kekaguman. Aku percaya " Andai salah, berani dihukum". Dan dua belas orang anak muda di depanku sedar kesilapan dan berani dihukum pumping 100 kali. 20 kali, dan semua dah putus-putus nafas. Aku minta henti dan mereka berterima kasih.

Malangnya, mereka didenda lagi Ruddy. Diberi masa dua puluh minit sekdar untuk menukar pakaian, ada yang pulang tidur! Ruddy menambah lagi 10 minit, itupun masih main-main. Akibatnya, pumping 50 kali. Tekanan itu perlu. Kerana pahat tak bergerak andai tak ditukul.

Selesai senaman, makan pagi.

Selepas itu, ada war games. Kami main di kawasan laluan obstacles, kerana kawasan asal kering. MENARIK, kerana situ banyak lintah. Ada yang batal kerana bangun takutkan lintah :) Tapi main dengan pelajar-pelajar awal remaja, ramai yang mati kerana tak mengikut peraturan. Nak lempar, dilemparnya kuat-kuat terus. Bangun bila nak melempar atau nak mengelak. Tak tahannya, ada juga sanggup mati mengambut telur yang dilempar lawan.

Tengah hari, dalam jam 1100, siap kemas khemah dan kawasan kem. Mereka makan tengah hari dan ada majlis penutup. Jam satu, pelajar-pelajar ini pulang..

______________________________________________________

Minggu ni minggu sibuk. Rabu, akan ada 160 orang pelajar masuk. Mereka berada di kem hingga Jumaat. Jumaat, masuk pula 280 orang peserta daripada Jemaah Islah Malaysia (JIM). Berada di kem sampai Isnin.

Wah, masaklah kami!

:)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...