Pls click my sponsor

Sebutharga Kem Lambaian Danau

Sila Penuhkan Borang Untuk Mendapatkan Sebutharga Dari Kami. KLIK Sini Untuk Ke Borang!

Wednesday, September 29, 2004

Kayak

Menjawab soalan.

Ni last sekali aku tulis pasal kayak.

Apalah ni, nak wat assignment pasal kayak ke ? Macamlah aku terror sangat. Manader naik kayak. Aku kat Kem ni, kerja jaga budak-budak fasi ni, bior buat kerja, jaga makan minum sumer orang cukup, kerja tido - aku tak kuasa nak nenaik kayak ni sumer. Yang suka wat kerja giler nih, bebudak fasi nih. Kalau boleh nak berumahtangga dalam kayak.

;Posted by Hello


Tapi aku baik, aku citer lah jugak. Last eh. Pasni jangan tanya lagi. Meh datang sini, ambil kursus kayak. Kalau ramai orang datang selalu lagilah banyak tanah dalam negeri Melaka ni aku laki bini boleh beli.

Soalan Satu: Bahagian Kayak (dari belakang ke depan)

1. Bow. Ni bahagian bucu kayak
2. Stern. Bahagian belakang bucu kayak. Ujung dialah ni
3. Deck. Atas kayak. (Kalau kat KLD, warna deck ni kuning)
4. Hull. Bahagian bawah kayak (yang kaler putih di KLD)
5. Gunwale line. Line hitam (getah kots?) yang mencantumkan kayak
6. Toggle. Tali yang diikat di lubang kayak
7. Cockpit. Lubang yang orang masuk tu.
8. Seat. Tempat duduk dalam kayak
9. Footrest. Tempat letak kaki.

Perbezaan antara BA dan Life Jacket

1. Rupabentuk.
BA yang rupanya macam vest tuh. Ada foam didalam vest tu, ada wiesel untuk minta tolong, ada lock untuk menutup vest dan safety sling (tali panjang yang lalu celah bedah tu). Foamnya mengelingi dada.

Life jacket pulak bentuknya seperti baju kontot. Foam lebih tebal. Kat Kem kami gunakan BA. Hanya ada satu sahaja Life Jacket, kepunyaan Kucai. Jangan tanya kenapa Kucai seorang pakai Life Jacket. Foamnya lebih di bahu.

2. Ketahanan
BA ialah alat bantu apung (buoyancy aid). Ianya berfungsi mengikut ketahanan foam didalamnya. Ada untuk 4 jam, 8 jam dan 24 jam.

Life Jacket lebih ketahanannya. Ada yang boleh tahan berminggu-minggu.

3. Cara pakai
BA dilock sesedap rasa. Tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar. Kalau ketat macam corsette beautiful tu, anda akan kelemasan memakainya walaupun belum masuk air. Tidka boleh terlalu longgar. Kalau angkat mesti tidak lepas dari telinga. Kalau tidak, BA kemana, anda kemana.
BA kalau dipakai, anda dalam kedudukan 'berdiri'.



Life Jacket pulak dipakai betul-betul fit. Sebabnya anda tidak tahu bila akan diselamatkan. Kedudukan memakainya seoalah-olah anda 'baring'. Kedudukan ini supaya anda dapat melihat kapalterbang/orang yang datang mencari anda.

4. Harga
Tak sure sangat. Tapi BA yang kami guna di Kem ni RM 79.00 sebuah. Kami beli beratus-ratus dari kilang, jadi sedikit murah dari harga retail.

Life Jacket mahal.

** Beli yang ada jaminan seperti cop Sirim. Kalau tak kang, tak terapung, aniaya aje.


Sekian.

Datang Kem lah, meh wat Klinik Kayak. Ramai pakar-pakar kayak kat sini. Macam-macam boleh belajar. Cara nak buang air masa berkayak pun dia orang ajar.

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia

Baru sampai. Lelaki semua :)

Kesian Toyak, kesian Cica, kesian Jepun :)

Bukan yang menunggu sahaja mengharapkan ada perempuan datang, yang datang pun. Bertanya mereka, er .. fasi perempuan tak ada ? Heheh .. padan muka wahai kaum lelaki ! Berprogramlah anda semua tanpa perempuan !

Bila semua lelaki dan program pula team building, tentulah lasak-lasak belaka. Program yang paling-paling Pak Let suka buat. Harap-harap semua cukup lasak dan fit untuk aktiviti-aktiviti yang telah disediakan.

Mereka akan buat Kayak Safari (Safari 3 - heheh !). Ada jungle tracking dan banyak lagi aktiviti berkumpulan.

Fasi yang bertugas untuk grup ni - Pak Man, Jepun, Geger, Toyak, Cicadinho dan Along Yusuf.

+++++++++++++++++++++

Hujung minggu ni lagi sibuk. Ada 3 grup. Fasi yang ada di Kem minggu ni : Pak Man, Pak Haji, Geger, Jepun, Raup, Zack President, Iha, Asri, Azlee, pG, Ruddy, Adi, Azim, Ashraf, Fikry, Abob, Along Yusuf, Toyak dan Cicadinho. Huh, cam gathering fasi pulak ! Ingatkan hujung minggu ni booking terakhir sebelum puasa, rupanya 11-13 ada lagi. UnivTeknikal - team building lagi !

8-10 tu kosong lagi. Harap-harap adalah orang masuk. Biar haus bekerja ! Lepas tu bulan puasa, bulan bercuti dan beramal puas-puas untuk semua. Sukahati makcik time puasa ni. Boleh masak dan duduk rumah puas-puas.

+++++++++++++++++++++

Resepi bubur nasi yang saya masak untuk berbuka semalam.

1 cawan beras wangi
7 cawan air
1/2 peket daging cincang Ramly
sedikit udang kering
sedikit halia
3 ulas bawang putih
8 ulas bawang merah (hiris, gaul dengan sedikit garam dan goreng, buat bawang goreng)
1 sudu besar rempah sup serbuk Adabi
sedikit daun bawang dan daun sup
sedikit minyak bijan (jika suka)
garam ikut rasa



Cara:
1. Basuh beras, masukkan air dan masak dengan hingga jadi betul-betul kembang. Gunakan periuk besar.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih dan halia tumbuk.
3. Dah wangi masukkan udang kering dan daging cincang. Masukkan rempah sup serbuk. Masukkan semua dalam periuk besar tadi.
4. Masak sebentar lagi.
5. Masukkan garam dan minyak bijan.
6. Taburkan bawang goreng, daun bawang dan daun sup.
7. Hidangkan dengan kicap cair.

Selamat mencuba !

Sunday, September 26, 2004

MPIK, Cheras dan Penutup Klinik Kayak

I'm listening to Norah Jones' Come Away With Me :) Best. Aman damai.


Di Kem ada dua grup - Maktab Perguruan Ilmu Khas, KL dan Klinik Kayak, Univ. Teknikal.

MPIK telah berada di Kem sejak hari Khamis. Hari ni akan pulang. Mereka tengah kotor-bolor tu, baru balik dari War Game. Tak banyak program yang kami buat untuk mereka, mereka bawa jurulatih sendiri. Cuma sewa itu ini dari kami.

Klinik kayak Univ Teknikal akan berakhir hari ni. Dah 3 bulan dah program ni berjalan. Penutupnya hari ni, kami belanja mereka BBQ. Menunya nasi lemak, sambal, ayam madu, ikan tilapia dan rohu dari tasik, sausage, salads dll. Semester depan, book lagi eh, Saiful ? :))

+++++++++++++++++++++++++++

Menjawab pertanyaan berkenaan Program Kayak di KLD. (Cik Khodijah)

Terdapat banyak program. Antaranya :

1. Basic Kayak
2. Intermediate Kayak

3. Klinik Kayak
4. Kayak Rekreasi

Basic Kayak.
Program asas berkayak. Berkenalan dengan BA, jenis kayak, paddle, keadaan air, water confidence dan keselamatan bila berkayak.

Paling penting ialah water confidence. Perbezaan antara BA dan Life Jacket. Jenis-jenis BA. Bagaimana mengapung diri. Bagaimana menjaga keselamatan dalam cockpit dan jika capsize. Isyarat-isyarat laut. (seperti di jalanraya, anda juga perlu tahu isyarat di laut)

Banyaknya nak ditulis. Kalau ada yang berminat, lebih baik anda telefon kami di no : 06-5246066/67. Akan diterangkan dengan lebih lanjut.

++++++++++++++++++++++++++

Sibuk hingga puasa. Jadual Kem penuh sehingga minggu terkahir sebelum puasa. Hanya ada satu lagi sahaja tarikh kosong : 8-10 Nov 04.

Rabu 29/9 - 1/10 : Lembaga Perindustrian Kayu
Jumaat 1/10 - 3/10 : PDJ-IR dan UnivKL
Sabtu 2/10 - 4/10 : SMK Seksyen 16, Shah Alam
Isnin 4/10 - 7/10 : PPD Johor

+++++++++++++++++++++++++++

Fasis' Training & Gathering 2004



Akan dibuat selepas Hari Raya. Semua fasi diwajibkan berkumpul dan menjalani latihan.

Jika ada pembaca yang berminat, boleh menghantar emel permohonan beserta resume. Anda mestilah pelajar Universiti/Kolej, warganegara Malaysia, seorang yang bijak (pointer mestilah 2.9 keatas), boleh menjadi imam, berkelakuan sopan sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia dan rajin. Jika anda perempuan, kami memilih yang bertudung. Jika anda tidak biasa dengan aktiviti lasak, latihan akan diberikan. Hantarkan permohonan anda ke lambaiadanaukem@yahoo.com.

++++++++++++++++++++++++++

SeriAdriani :

Akak pun rindu nak sembang dengan Seri :) Untuk Seri, akak letak Tagboard kat blog resepi akak. Kita sembang kat situ. Klik kat My Recipe ye Seri !

Wednesday, September 22, 2004

Kem Lambaian Danau (KLD)

Dan bagaimana kalau tiba-tiba hati rasa rindu?



Rindu pada suatu tempat, pada teman-teman, pada keluarga? Maka itulah yang aku rasa. Rindu. Rindu pada kem, pada Pak Let, pada Kak G, pada Pak Aji, pada Toyak, pada Muafa, pada Jepun, pada Khalid, pada Ruddy, pada semua-semua.

Kem Lambaian Danau yang tak pernah aku lupa. Yang aku tidak pernah lupa: bahawa jika naik bas Tangkak, berhentilah di simpang. Jika naik kereta, jangan bila dilencong ke tangki air, tapi selekoh ke bahagian sekolah. Ingat Balai Polis Chinchin.

Aku tak pernah lupa itu. Tak pernah. Kerna kem adalah tempat aku kembalikan kenangan silam. Kenangan bersih, suci dan gembira. Kerna kem adalah tempat aku riang-riang sahaja. Kem yang jauh daripada hiruk-pikuk kota. Jauh daripada manusia mulut durjana.



Cuma, cuma aku disibukkan. Disibukkan di sini, lalu tak punya tempat di situ. Kerna tiap-tiap pagi mahu jumpa tabib, dua hari sekali mulut mahu merah, kerna 'makanan kesihatan' bertukar-tukar jenisnya. Hanya kerna itu. Jadi, aku di sini bukan di situ.

Tapi akhir-akhir ini aku jadi rindu. Amat rindu. Tak tertahan-tahan lagi hinggakan aku rasa pedih. Rasa sakit bila teringat-ingat. Dan bilamana ada luangnya, nyata jodohnya tiada. Cuma tiada. Lain kali. Masa depan. Entah bila-bila.


Lalu aku khabarkan di sini, rasa rindu pada alam. Pada keluarga aku yang penyayang. Pada teman yang tak putus-putus bagi semangat untuk terus juang.

Sesungguhnya aku tidak pernah lupa kalian, dan perjuangan ini sangatlah panjang.



Salam untuk semua. Sudah disampaikan salam itu secara simboliknya, namun saya mahun sampaikan ia terus kepada semua sekali lagi. Salam sejahtera, bahagia dan kebaikan buat yang saya sayang. Kerna esok lusa adalah janji yang tidak pasti, maka saya ungkapkan tanpa tertangguh-tangguh lagi.


Maafkan saya Kak G, kalau datang tak berjemput. Pergi tak disuruh. Adikmu seorang ini memang sumbang langkahnya.



:) Malam Sabtu,
semua pakat-pakat jadi hantu.
Tak aku pergi dari situ,
Kalau tidak dengan r.i.n.d.u


Senyum seindah suria,
Yang membawa cahaya,
Senyumlah dari hati,
Duniamu berseri.


jUMPA lagi!

Sunday, September 19, 2004

The Haji Aminudin Clan

Semalam, terperanjat beruk.

Uncle Omar telefon, berjanji untuk datang dengan Auntie Kama, Auntie Puan dan Auntie Asiah. Datang dengan Wafa, anak Auntie Puan dan anak-anak Auntie Asiah.

Saya pun pulang dari Kem dan tunggu di rumah.

Sebaik saya sampai, mereka pun tiba. Sekali tu, anak dara seorang ni, dia cakap dia cousin saya ! Dia yang saya kenali sebagai 'kawan baik' Bamz dan Lenny ! Dan rupa-rupanya rumah yang Len dan Bamz tumpang semasa practical training di Pasir Gudang dulu adalah rumah Uncle Zali dan Auntie Puan saya. Kami ada juga bertegur sapa, tetapi sekadar menegur di blog. Alahai, I'm sorry Sherry !

Saya ingat lagi wedding Auntie Puan yang dibuat besar-besaran di Seremban lama dulu. Mana lah tahu anak dia dah besar !

Seronok kami berkumpul beramai-ramai. Admire tudung arwah nenek yang telah berusia berpuluh-puluh tahun. Auntie Asiah minta kebaya sempit Mak yang bersulam-sulam (kebaya Nonya). Nak pakai dengan tube. Vogue sungguh dia !

20 & 21 November nanti akan ada perhimpunan keluarga Haji Aminuddin dan Hajah Aminah, moyang kami. Bolehlah berkenal-kenal dan merapatkan lagi tali persaudaraan.

+++++++++++++++++++++++++

Sewaktu saya bersama-sama keluarga, Abang ada majlis motivasi dan solat hajat di sekolah Amir. Siangnya dia balik kampung dulu, menghadiri kenduri doa' selamat di rumah Mak Muar. Balik seorang sebab saya perlu bekerja.

Petangnya bergegas pula ke Melaka, ke sekolah Amir. Tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama anak.

Saya ingat lagi semasa Hafidz menghadapi peperiksaan UPSR tahun lepas. Semua ibubapa diminta bersama-sama anak ke majlis yang serupa. Ada juga ibubapa yang tidak dapat hadir mungkin kerana sibuk bekerja. Selesai solat hajat, anak-anak bersalam dengan ibubapa meminta restu. Keadaan sayu sangat masa ni. Dan paling kesian anak-anak yang ibubapanya tidak hadir. Teresak-esak mereka menangis hinggakan ibubapa lain pergi memeluk mereka !

Pada hari peperiksaan, kami ramai-ramai di surau sekolah. Baca Yaasin dan bersolat hajat lagi minta Allah SWT lapangkan hati dan mudahkan anak-anak kami menjawab. Bawa juga kuih-muih (pot luck) untuk anak-anak makan ramai-ramai lepas periksa.

Pastinya, semasa Amir periksa nanti, kami juga akan bercuti. Semoga buah hati cahayamata pertama kami akan berjaya dengan cemerlang !

+++++++++++++++++++++++++

Hari ni di Kem. Bekerja sebab Pak Haji tidak bekerja. Masak dengan Jepun, Geger dan Raup. Lauknya nangka muda dan daging masak rempaah dan ikan goreng.

Habis masak, projek jeti baru.

Hujan pula. Dengan air hujan airmata dan air tasik, kami semua berendam dan basah kuyup. Akhirnya siap juga rangka jeti baru. Habis 20 batang kayu gelam yang telah ditebang. Masih kurang 8 batang lagi untuk jambatannya. Esok kena ambil. Lepas tu beli papan dan siaplah jeti baru!

Huh, nak tanya boss saya - esok leh cuti tak honey ? Sejuk giler ni ! Rasa nak demam !

++++++++++++++++++++++++

Catatan : Hari ni hari akhir Raup bekerja. Esok dia mula sekolah balik. Geger ganti Raup.


Friday, September 17, 2004

Kayu Gelam

Salam Jumaat. Sekejap sahaja sudah Jumaat kembali. Hari ni sudah 2 Syaaban. Jom, puasa sunat :)

Minggu ni tiada grup. Er, ada cuma datangnya nanti pada hari Ahad.

Minggu ni minggu cari kayu gelam. Dah beberapa hari Jepun, Raup, Muafa dan Geger menebang pokok-pokok gelam di hutan gelam. Bila pokok dah ditebang, kena pula sisir kulitnya, biar tinggal batang sahaja. Leceh juga kerja menyisir kulit, kalau tak sisir pula nanti kayunya tak tahan lama.

>
Hutan Kayu Gelam


Lepas tu kena bawa balik ke Kem.

Batang-batang gelam ni nak diguna buat jeti. Jeti yang satu kat belakang tu tak cukup. Kalau ada aktiviti rakit/water confidence , orang lain dah tak boleh nak berenang/mandi. Kenalah tambah satu lagi. Batang gelam tahan direndam air, susah rosak. Kalau kayu biasa, kejap sahaja dah nak kena ganti.

++++++++++++++++++++

Baby baru. Patutlah lama tak nampak Maya. Maya, awek Alex. Rupa-rupanya dah ada baby lagi. Kecil sahaja anaknya, comey. Geram tengok dia bergayut kat mak dia. Kiut. Si-abang/kakak (?) pun ada sama. Yang tak de si-jantan playboy tuh, Alex. Jenuh dah budak-budak di Kem ni nasihatkan, masih juga tidak tahu tanggungjawab sebagai bapa dan suami. Sekarang mereka anak beranak duduk dalam hutan depan Kem. Cuma nampak mereka sesekali.

Semasa Alex kecil, sebelum jumpa Maya ; Alex sentiasa berada di Kem. Kami bagi makan kat dia. Dulu, dia jinak. Boleh pegang sambil usap-usap dia. Manja. Kalau ada peserta masuk dan buat aktiviti, dia ikut sama. Semasa ice breaking, dia duduk atas pokok dekat Dataran, menyibuk-nyibuk. Kalau buat obstacles run, dia tunggu dekat pilot splash. Jungle tracking ikut sampai canyon pastu balik dan tunggu dekat hutan gelam. Malas kot, nak berjalan 12 km.


Ni bukan gambar Alex, ni gambar sedara dia.


Tapi lepas dia jumpa Maya dia semakin lupakan kami. In love, katakan. Lama dia menghilangkan diri (budak-budak ni cakap, dia dok rumah mak mertua). Tiba-tiba sahaja satu hari tu nampak dia dengan Maya dan anak kecil dok bermain-main di line flying-fox. Alex hobi dia memang bermain di line flying-fox. Alex dah kembali ! Bawa keluarganya pula :)

Wednesday, September 15, 2004

Buah Melaka @ Onde-Onde

Keseorangan. Raup dan Jepun 'off' hari ni. Betul-betul seorang ni.

Suami saya tak sihat. Keracunan makanan. Semalam, seharian pakai towel sahaja. Sebijik macam house elf Entah berapa puluh kali dia berulang alik ke tandas. Makan pun tidak. Kesian you, honey ...

+++++++++++++++++++++++

Kerja-kerja di pejabat sedikit tertangguh. Saya dah siap dah segala benda sales dan gross profit thingy tuh, kena menunggu dia untuk habiskan semua sekali.

Hari ni banyak kerja. Kena siapkan tentative program utk TSA. Sebab mereka 2 kumpulan - kena siapkan 2 programlah. Satu utk dewasa dan satu untuk peserta bawah umur 12 tahun. Semua sekali 300 orang.

Ada satu minggu ni saya 'terambil' 3 grup. Satu dari Pejabat Kerajaan, satu pelajar universiti dan satu lagi pelajar sekolah menengah. Ni tengah pening nak arrangekan aktiviti dan segalanya supaya tidak bertembung. Ingatkan tak jadi dan tiada bayaran deposit, saya pun ambillah grup lain. Sekali jadi pula. Sedangkan saya dah bagikan tarikh tu kepada kumpulan yang lain.

Kalau tak ambil grup lain, nanti Kem kosong pula.

Susah kadang-kadang nak menimbangrasa. Janjinya 100 orang, datangnya 40 orang. Kita dah berikan harga untuk 100. Dah booked fasi dan penceramah. Kalau datang 40 orang, macam mana lah saya nak cover kos saya dengan harga yang saya berikan untuk 100 orang (Sini, lagi ramai lagi murah). Dah anda tidak menepati janji, takkan saya pun nak serupa anda. Saya perlu juga bayar pada penceramah/jurulatih yang telah tidak menerima kerja lain.

Walaupun saya kena jaga hubungan baik dengan pelanggan, saya juga perlu menjaga kebajikan partime staffs saya. Huh, kadang-kadang benda sebegini amat memeningkan kepala.

Tu belum lagi kisah orang tak bayar, lambat bayar ...

+++++++++++++++++++++++

Hari Isnin lepas, saya buat kuih buah melaka @ onde-onde untuk berbuka. Here's the recipe.

Bahan :
1/2 peket tepung pulut
1/2 buku gula melaka
1/2 biji kelapa parut (buang kulit ari)
5 helai daun pandan, blend dengan 3/4 cawan air sejuk
sedikit garam

Cara:
1. Uli tepung pulut dengan air pandan. Hingga jadi doh yang boleh dibentuk. Kalau kurang air/tepung sila tambah.
2. Potong gula melaka jadi kiub-kiub
3. Panaskan air dalam periuk hingga mendidih
4. Ambil tepung sebesar guli, buatkan lubang ditengah dan masukkan gula melaka.
5. Kecilkan api air dalam periuk tadi dan masukkan kuih.
6. Buat lagi hingga habis semua tepung.
7. Bila kuih dah masak ianya akan terapung. Ceduk dan masukkan dalam kelapa parut yang telah digaul rata dengan sedikit garam.

Selamat mencuba !

+++++++++++++++++++++++++++++

Kena sambung kerja balik. Nak siapkan prrogram budak-budak kecik. Tadi dah buat satu - masak cara camping. Mereka dapat buat roti pintal, masak sausage. Rasa nak masukkan juga kuih onde-onde nih. rebus dalam mesh tin. Kena tanya Pak Man, leh jadik tak ?

Sunday, September 12, 2004

Puteri Gunung Ledang

Pergi tengok cerita PGL. Saya suka pada cerita-cerita epik macam ni. Tapi pergi tengok dengan suami dan anak-anak, jadi sakit telinga dan sakit hati. Kita beria-ia, mereka buat lawak tak perlu.

Hafidz : Sultan Melaka kena buat ortho macam Along, gigi berlapis

Amir : Hang Tuah dgn Bendahara asyik pakai baju tuh jer
: Ma, ada ke pokok kelapa sawit masa kurun 15 ?

Suami : hehe .. tebal celak orang jahat
: tuh Yang tuh, abang kain busuk. (Masa HT tengah frust menonggeng dekat lumpur. Abang ni selalu dtg Kem dan kalau dtg, pakai kain pelikat yang punyalah busuk, kalau buang kat tasik sure semua ikan mati .. sorry bang, aku kutuk ko nih!) Er .. tu Dak Din Perbadanan Air yang pasang paip air Kem. Ramai lak pak pacaks kenalan dia !

Ayin & Nana : Nak balik ... nak tengok Harry Potter.

Ish, memang geram betul dengan dia orang. Saya diamkan diri sahaja. Memang tak berjiwa seni langsung. Bila saya sedih, mengalirkan airmata boleh cakap pulak, kita orang tak faham pun. Mama boleh sedih-sedih. Tak de perasaan, anak beranak tak de perasaan.

Nasib baik, selepas tu akibat boring, seorang demi seorang terlelap. Barulah aman.

Saya suka PGL. Suka sangat.

Pemandangan dalam filem ni cantik. Dan banyak tempat yang saya dah pernah tengok. Air terjun Puteri, padang batu di Gunung Ledang. Mereka berkuda di Keluang. Scene hutan banyak di Fraser's Hill. (Pi jungle tracking kat sana, best !)

Costume cantik-cantik, walaupun seperti kata anak saya, tak bersalin sangat. Asyiklah baju tu, tu jer :) Saya suka accessories PGL. Ear piece yang dipakainya cantik, cincin pun lawa sangat.

Muzik pun best. Suka masa M. Nasir humming tuh !

Gunung Ledang sungguh dekat di hati saya. Saya dapat melihat pemandangan Gunung Ledang dari pelantar di luar pejabat saya. Setiap pagi, bila sampai pejabat, mesti tengok gunung dulu. Kalau tidak berkabus atau hujan, nampaklah ia.
Posted by Hello
Boyfriend saya dan Syahril Izwan di puncak Gunung Ledang.



Ada jugaklah yang tidak disukai. Rasa macam hero/heroin sedikit tua. Tapi padanlah tuh. Nak suruh hero Melayu mana lagi berlakon. Yang muda-muda macam Eizlan atau Yusry lagilah tak sesuai. Lembek giler :)

Saya suka sekali pada lakonan Alex Komang, Datuk Rahim Razali dan Christine Hakim. Menjadi sungguh.

Sultan Melaka tuh, memang pun bodo-bodo kot ? Sebab tu la Melaka jatuh kepada penjajah semasa pemerintahannya.

Dialog pun best juga. Sungguh berbudaya dan berseni. Macam tu agaknya mereka dulu-dulu berbicara. Dari mana dan entah kenapalah pulak sekarang ni orang Melaka kasar sungguh bila bercakap. Mana datangnya lahabau, lahanat tuh eh ?

Oppss .. kena stop dulu. Budak-budak Klinik Kayak KUTKM dah sudah berkayak dah. Nak kena pergi tengok dulu :)

++++++++++++++++++++++++++++

SELAMAT PENGANTIN BARU ABU KHIR HAYON DAN ISTERI. Schoolmate saya. Sama baya :) Kawen gak ko, eh ! Hehe .. welcome to the club :)

Friday, September 10, 2004

Tenang

Semalam selepas peserta dari PPD Muar balik, tidak bertangguh lagi saya dan Abang ke belakang, mandi. Lama tak mandi air tasik. Berendam puas-puas :)

Pagi ni sampai Kem awal. Seronoknya bila Kem kembali aman dan tenang. Tiada lagi bunyi bising dari gendang-gendang, kompang-kompang dan segala alatan muzik lain. Yang ada cuma bunyi burung-burung berkicauan. Rindu dengan kicauan mereka. Hilang penat, hilang tension bila boleh aman-aman begini :)

Belakang pejabat saya pohon nenasi sedang berbuah lebat. Buah nenasi bewarna putih, berbau wangi dan rasanya seperti buah jambu. Kecil-kecil sahaja. Dari jauh nampak seperti bunga. Pohonnya sekarang jadi tumpuan burung-burung. Pagi ni duduk sebentar di pelantar memerhatikan burung-burung makan buah nenasi. Di tasik, air beralun lembut dengan cahaya matahari pagi bersinar menerangi. Nampak juga Gunung Ledang dari kejauhan ini. Semuanya amat mendamaikan hati ! Masya Allah betapa beruntungnya saya .. dapat menikmati keindahan ciptaanNya.

Cuaca hari ni pun bagus. Ada matahari tetapi berangin. Wind chime kat luar tu sedang berbunyi-bunyi ditiup angin menyanyikan lagu aman tenang untuk saya :)

Tadi selepas berjalan-jalan memeriksa kawasan Kem, mandi tasik lagi. Puas mandi air tasik - rambut rasa lebih lembut, kulit pun rasa selesa sebab airnya tidak berklorin. Tasik ni luas, 104 ekar. Mandi air mineral, bebs !

++++++++++++++++++

Raup dan Jepun bercuti 2 hari. Tidur jer la kerjanya tu. Semester depan Raup tak kerja lagi sebab kelasnya dah banyak. Geger pula akan bekerja tetap.

++++++++++++++++++

Menunggu berita baik. Semoga Allah swt mengizinkan permintaan kami. Amin ..

++++++++++++++++++

Esok selepas Amir habis kelas tambahan, nak bawa anak-anak ke Kem. Bagi mereka lepas tension sehari. Sukahatilah nak berenang ke, berbasikal ke, berkayak ke atau apa saja.

Sebulan sebelum exam ni, Amir setiap hari berulit buku. Pesan kami kepada dia, sebulan sahaja ni kena penat-penat. Habis exam nanti, boleh dah buat apa sahaja aktiviti. Bersungguh dia dan kami berdua sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak.

+++++++++++++++++++++++

Salam Jumaat. Semoga hari anda dan kehidupan anda dirahmatiNya :)

Thursday, September 09, 2004

Royal Wedding

Tengah tengok wedding Putera Mahkota Brunei dengan Dayang Sarah.
;Posted by Hello


Tengok dengan Abang sambil dia bernostalgia. Dia dah pernah masuk istana Darul Imam tu dan Balai Indera Buana tu. Hehe .. bukan sebagai tetamu tapi 'kuli'.

Masa sekolah dulu, kami miskin sangat (sekarang pun miskin jugak) dan dia kerja partime sebagai waiter. Semasa ulangtahun kemerdekaan Brunei, dia dengan classmates kami yang lelaki ke Brunei, jadi waiter. Mereka bekerja seminggu di Brunei.

Sekarang ni sambil tengok TV sambil dia cerita pasal chandelier lah, kerusi salut emas lah, tandas salut emas la .. Punya besarlah istana tu, dari dapur nak ke banquet hall bawa makanan, makanan di bawa dengan bain marie bergerak supaya makanan sentiasa panas.

+++++++++++++++++++++++

Kem jadi Akademi Tarian

Huh ?

Iyer, sedari semalam peserta-peserta belajar tentang kebudayaan. Mereka dipecah-pecahkan kepada beberapa kumpulan. Ada yang belajar tarian India, tarian Naga, belajar kompang, tarian buluh, joget Melayu dan kuda kepang.

Program ni bagus. Pelajar-pelajar Cina dan India dah pandai main kompang. Mereka juga dah pandai berjoget Melayu. Pelajar Melayu main tarian Naga dan menari tarian India.

Punyalah bising dalam hutan ini. Dengan gendang tarian naga dan kompang. Dengan bunyi muzik dari cd. Kesian kawan-kawan kami. Selalunya sunyi, aman dan tenang. Semalam Alex, Maya dan Baby keluar kat depan Dataran Gemilang. Sebelah Dataran Gemilang, orang berlatih tarian naga. Bising sangat agaknya, tu la keluar tengok.

Dah 4 hari tidak dengar bunyi ayam hutan. Kalau tiada grup, mereka keluar cari makan di belakang dapur. Entah manalah mereka mencari makan.

Kat belakang tasik, dekat Safari 2 ada sekeluarga memerang 5 ekor. Kalau hari-hari yang tiada orang, mereka bermain-main di tempat lake crossing. Selalu juga kalau kami berdua jalan-jalan belakang jumpa mereka.

Hari ni PPD Muar akan check-out. Ni menunggu untuk Majlis Penutup. Lepas tu kemas-kemas semuanya dan pulang.

Esok bolehlah rehat sedikit.

Isnin kena siapkan semua lapuran-lapuran dan akaun. Banyak kerja saya yang dah tertangguh ni.

Sambung tengok orang kahwin ah :)

Tuesday, September 07, 2004

Hujan dan Ikan Keli

Semalam hujan sehujan-hujannya. Dari awal pagi sehingga waktu Zohor baru hujan berhenti. Peserta sampai pukul 2.30, pasang khemah. Lepas tu hujan semula sehingga awal malam.

Sejuknya. Semalam semua orang berwindbreaker dan berbaju hujan. Lama dah tak kerja dalam hujan begini. Di Kem, kalau hujan, sejuknya hingga ke tulang. Mana lagi tasik berombak bergelombang bagaikan laut !

Abang tidur di Kem. Saya di rumah bersama anak-anak.

Pagi tadi saya datang ke Kem, kabus penuh meliputi tasik. Tapi matahari telah bersinar. Hari ini terang dan panas.

++++++++++++++++++++++++++

Kalaulah tiada grup, tentulah petang begini, kami memancing. Kalau lepas hujan, ikan merah mata, lampam, terbul akan mudah makan pancing. Ini kalau musim ikan-ikan putih. Nama-nama di atas tuh, kumpulan ikan putihlah. Kalau tak musim, hanya dapat Doraemon sahaja. Nama betul ikan ni, ikan patung. Tapi dia bulat macam Doraemon, maka kami panggillah macam tu. Kalau nak ikan besar, kena naik bot. Boleh dapat toman, kap rumput dll. Ini setakat memancing dari pondok fasi jer.

Sekali memancing, dapatlah lebih kurang 5 kg. Tapi kami memancing ramai-ramai. Batang pancing apa saja pun boleh. Kalau pG, dia guna batang mop. Dapat lak ikan tuh :) Ikan-ikan ni siang ramai-ramai dan Jepun goreng. Kadang-kadang Pak Haji masak lemak cili padi. Sedap, ikan fresh dari tasik sendiri.

Kalau nak makan ikan keli, kami akan memancing di belakang. Dekat tasik Hijau banyak ikan keli. Seronok juga memancing ikan keli. Sedap ikan keli panggang masak lemak cili padi !

++++++++++++++++++++++++++

Resepi Ikan Keli Cili Padi

Bahan
3 ekor ikan keli besar
1/2 biji nenas
Kunyit hidup tua sebesar ibu jari
1 genggam cili padi atau ikut pref anda, banyak atau sikit
12 biji limau kasturi atau 9 keping asam keping, perah limau dan simpan kulit
1 biji kelapa, ambil santannya
Sedikit garam

Cara:
1. Siang ikan, bersihkan dengan mencuci dengan kulit limau dan garam kasar. Toskan, kemudian sapu garam dan kunyit kering sedikit. Panggang atas kuali tosei yang telah disapu sedikit minyak. Tidak perlu panggang hingga masak.

2. Blend cili padi dan kunyit hidup.

3. Masukkan ikan, cili padi dan kunyit yang telah diblend, santan, asam, garam dan nenas dalam periuk, nyala api.

4. Kuah lemak, jika cukup garam dan asam. Tidak akan pecah minyak. Jagalah jugak kuah tu, jangan ditinggalkan.

5. Akhir sekali, carik-carikkan daun kunyit dan masukkan dalam kuah.

6. Bila kuah elok mendidih, tutup api. Siap.

+++ Saya, kalau masak cili padi memang tak letak bawang. Tak sedap, hilang bau cili padi. Eloknya tinggalkan 5-6 biji cili padi dengan tangkai. Lagi kick bau kuah cili padi tu !


Memancing ikan keli di Tasik Hijau



Ikan keli

Monday, September 06, 2004

SMK Sri Banang dan Kem Integrasi PPD Muar

Hujung minggu lepas, orang Batu Pahat masuk. Tak ramai, 120 orang sahaja. Masuk Jumaat, balik Ahad.

Pelajar menengah rendah, tingkatan satu dan dua. Mereka buat program Badan Beruniform. Fasi bertugas ; Asri, Azlee, pG, Toyak, Cica, Khalid, Muafa, Geger, Rauf dan Jepun. Pak Haji masak dan Pak Man, jurulatih kanan.

Minggu ni saya tak tidur di Kem. Badan tak sihat. Demam on and off. Sekejap rasa okay, sekejap tak sihat pulak.

Malam tadi, bangun pukul 2 pagi. Kena serang sejuk hingga menggigil. Lowkan temperature aircon ke 25C, pun sejuk lagi. Buka almari, ambil dan pakai sweater dan track bottom yang tebal. Sapu kaki dengan minyak wintergreen dan pakai setokin. Baru dapat tidur.

Abang tidur di Kem sebab hari ni masuk pula pelajar-pelajar dari PPD Muar. Program sampai hari Khamis. Pagi ni semua orang sedang sibuk. Cuci tandas dan kemas dewan-dewan. Chalet-chalet juga kena vacuum dan kemas. Dataran kena sapu dan susun kerusi. Surau kena sapu dan mop sebelum dibentang tikar dan sejadah.

Abang dan Toyak dalam bot sejak awal pagi. Mengukur dan menanda track laluan kayak/rakit. Hujan lebat minggu lepas buat penanda-penanda hanyut entah kemana. Track baru berbentuk diamond pulak. Baru best nak corner kots ?

Lepas tu mereka hendak pusing pulau pula. Cadangnya, bulan puasa nanti nak mengemas pulau tu. Semak sangat dah.

++++++++++++++++++++++++

Saya nak pergi tidur :)

++++++++++++++++++++++++
Gambar oleh Airiz, orang Batu Pahat :)



Gambar Pak Man sedang mengendalikan kelas kayak

;Posted by Hello

Wednesday, September 01, 2004

Salam Merdeka

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke 47.

Menyambut dengan melayan TV di rumah. Tengok citer Janji Diana dan Cinta Kolestrol. Filem Paloh saya dah tengok di panggung, tahun lalu. Semua filem tu tak best langsung. Takleh hipokrit, kan ? Memang bukan taste saya. Tapi saya habiskan juga tengok sebab Mak tengok dan remote di tangan dia.

Pengarah-pengarahya bukan calang orang. Saya tak tahu nak fikir apa bila tahu pengarah Cinta Kolestrol tu, seorang Prof Madya. Huh ! Er, kenapa filem tu jadi begitu ? Saya seperti tengok sesuatu yang tidak berkualiti, yang tidak seharusnya buah tangan seorang yang tinggi ilmunya. Atau saya kots, yang tak reti nak menilai ..

++++++++++++++++++

Anak-anak bercuti di Penang bersama Ida dan Fadhli. Hari Jumaat, lepas solat Jumaat, kami bertolak ke KL. Hantar 3 Ridzwans dan Rina. Malam tu tidur rumah mereka sebab esok, pagi-pagi nak bertolak ke Penang.

Anak-anak kata seronok di Penang. Mana taknya, di swimming pool dari pagi ke petang sampaikan tak ingat nak makan. Amir dan Hafidz kalahkan Uncle sekarang bila berenang. Pergi parasailing. Jalan-jalan sekitar Penang. Patutnya balik hari Isnin. Tak puas lagi tidur semalam lagi. Semalam petang baru sampai. Itupun jenuh kami telefon, ingatkan kena sekolah. Hari Isnin, semua ponteng sekolah.

Mereka berempat bila bersama Busu dan Uncle, memang tak ingat mak-bapak. Kamilah yang rindu-rindu, sunyi-sunyi. Bodoh dibuatnya tanpa mereka :)

+++++++++++++++++

Selepas mereka bertolak ke Penang, kami berdua ke UiTM, Shah Alam. Lama sungguh tak tengok sekolah kami. Huh, pokok-pokok tepi Tasik Shah Alam dah besar-besar. Ishh tua kita, bang !

Lalu kat Kolej Jati, nampak bilik lama Abang. Teringat masa saya duduk di Level 5, Seroja 2 dulu. Kami berbalas flash kamera malam-malam. 3 kali flash maknanya I Love You. Dua kali pulak - Goodnite. Tah apa-apa .. But then, masa tu bukan ada mobile lagi. Bercinta main style bodo-bodo gitulah. Dah berflash-flash baru lelap tidur :)

Besarnya UiTM ! Macam-macam Kolej dah ada dah. Dulu, kat stadium tu, kira hujung dunia. Kalau takde Kesatria dan Pesta Konvo sure tak sampai situnya. Perindu 4 masih Kolej ROTU macam dulu.

Pusing-pusing sampai Perindu Satu, nampak bilik Yan lama. Rindunya saat muda dulu ! Yan teman saya menangis dan ketawa. Bila Yan dan Baz bercinta, saya seperti kehilangan. Dan Mamat Muar ni, take advantage, jadi kawan baik saya pula ! Last-last hari ni, dia dah bagi saya 4 orang anak !

Abang mencari padang. Padang dia main hoki, main bola, main tenis .. Dulu, dia bermain. Saya jadi tukang tunggu dia :)

Rupanya dah 18 tahun saya tinggalkan tempat ini. Banyak kenangan, banyak pengalaman di sini dan sebahagian besar darinya saya bawa bersama dalam hidup saya.

++++++++++++++++++++++

Dari Shah Alam ke Kelang. Dulu, Kelanglah tempat berjalan kalau weekend yang tak balik rumah. Ada pasar malam kat Pasar Jawa. Beli putu bambu dan makan ABC kat satu gerai ni.

Siksa dulu kalau nak berjalan keluar dari ITM. Kena turun bawah, lalu Mamakteria (dah takde lagi) yang ada anak tangga tingginya kurang sikit dari anak tangga Batu Caves. Tunggulah tepi jalan tu, Bas KL-Kelang !

Pusing-pusing Kelang.

Pastu ke Morib. Tengok RestHouse dan padang golf yang Su tulis dalam Rasasanubari. Terus pula ke Bagan Lalang.

Hobi kami, tengok chalet-chalet, hotel-hotel dan benda-benda yang seangkatan dengannya.

Dari Bagan Lalang ke PD. Abang kata, jom honeymoon yang !

++++++++++++++++++++++

Hotel di PD penuh belaka. Tapi ada apartment sewa. Sewanya murah. Sebuah one room apartment - RM 55.00/nite sahaja. Kalau tak silap nama apartment tu Sunrise atau Sunshine atau Sun something. Lupa ah ! Dia terletak sebelah Corus.

Simple jer bilik dia. Tapi bersih. Ada TV, ada cooking facilities, ada hot shower dan paling penting, beach dia best. (swimming pool ada, kiddie pool pun ada kat level 4) Tak de batu. Beach dia macam beach Bayu. Pagi-pagi ada makcik jual nasi lemak dan macam-macam benda makan depan apartment ni. Sangat-sangat okay untuk budget holiday.

Tapikan, tak best langsung bercuti berdua ni. Rindu anak-anak. Makcik sebelah apartment kami yang ikut anaknya bercuti tu, bila kami tegur dia pandang tempat lain. Uih, sombongnya ! Bila pergi berenang, orang pandang semacam jer.

Last-last baru tahu. Orang pandang serong, mungkin ingat kami berdua ni couple tua yang ada affair, kot ?

Moralnya, kalau dah tua macam ni - pergilah bercuti dengan anak-anak. Kami check-out awal pagi Ahad tu. Balik, pergi Kem.

Kerja lagi baik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...