Pls click my sponsor

Sebutharga Kem Lambaian Danau

Sila Penuhkan Borang Untuk Mendapatkan Sebutharga Dari Kami. KLIK Sini Untuk Ke Borang!

Saturday, December 18, 2004

Pine Resort-Poring Hot Springs-Mesilau-Kinabalu Park

+++ Gambar, sila klik di My Fotopages, entry ni dah terpanjang ! +++

Pine Resort terletak tepi lereng ! Chaletnya menarik, sebuah rumah dibahagikan kepada 4 bilik, 2 diatas dan 2 dibawah - macam townhouse gitu. Setiap bilik ada 2 katil, bilik air/tandas, kemudahan biasa seperti cofee making facilities, tv, dll.

Chalet kami - chalet P betul-betul di lereng. Tapi menariknya, buka pintu bilik boleh terus tengok pemandangan Gunung Kinabalu. Biarpun begitu, bukan senang nak melihat puncak Kinabalu. Ditutup kabus dan awan selalu. Kami anak beranak melepak depan bilik, ada beranda yang luas.

Lepas checked-in, kami merayau ke Ranau. Tak jumpa pun rumah Linda :)

Dari Ranau, ke Poring Hot Springs. Hujan pulak. Ada jambatan gantung ! Kami suka ni :)

Tapi saya tidak suka Poring. Banyak anjing. Kotor. Tepi-tepi kolam mandi, anjing bersepah-sepah. Geli sungguh. Anak-anak nak mandi tapi saya tak benarkan. Sampaikan depan pintu utama pun anjing bersepah.

Makan masaalah juga di sini. Tak berani nak makan mana saja. Yang bernama macam orang Islam pun, tidak tahu Islam atau tidak. Akhirnya untuk makan malam kami makan di KFC. Yang ni tak takut, sebab Ayah Fathi (fasi Kem) Pegawai Agama KFC. Dia jamin KFC, halal. Kami tak makan pun di Coffee House Pine Resort sebab waswas.

Malamnya tidur lambat sebab ada aktiviti best. Tapi tak boleh tulis di sini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

++++++++++++++++++++++++++++++

MasyaAllah, bangun pagi dengan (Suboh awal sini) dihadiahkan dengan pemandangan paling cantik pernah saya tengok ! Puncak Kinabalu betul-betul depan mata.

Mulalah berangan-angan, kalaulah saya punya duit yang banyak, mau sahaja pindah ke sini. Udaranya sungguh segar. Abang dan Nana batuk-batuk teruk sejak dari KL, sampai sini dua-dua jadi sihat. Udaranya benar-benar menyegarkan.

Anak-anak bangun pagi-pagi lagi dan meronda sekitar Resort. Mat Salleh ramai sini, ada jugak jumpa orang Banting, Selangor. Apa lagi, beramah mesralah ! Tapi anak-anak suka bermesra dengan warga tempatan. Sekejap sahaja dah pandai berbah, bah ! Lemah lembut orang Sabah bercakap. Tak macam kami, orang Melaka. Berbual macam nak bergaduh ! Ala-ala samseng gitu !

Checked out dari Pine Resort setelah puas bergambar sakan.

Kami ke Mesilau. Tempat paling saya suka sepanjang percutian ini. Sungguh cantik, sungguh hijau dan sungguh menyegarkan. Kalaulah saya boleh menukar gaya kehidupan, mahu sahaja jadi petani di Mesilau ni !

Dalam perjalanan ke Mesilau Resort kami melalui Kinabalu Golf. Nampak banyak log kabins. Jumpa kebun cendawan dan ladang lemb susu (dairy farm). Kebun sayur jangan ceritalah, sungguh banyak. Setor-setor sayurnya di tepi jalan sahaja. Nampak kobis dan tomato berbukit-bukit :)

Jalan dari jalan besar ke Mesilau Resort tu tak berapa elok. Separuh tempat, jalannya tak bertar. Memandu off road gitu.

Berbaloi bila sampai ke Mesilau. Tempatnya cantik. Chalet-chalet di bina dicelah-celah pokok oak. Paling cantik, pejabat Ranjer Taman Mesilau. Berandanya dibina dengan bertiangkan pokok oak hidup :)

Kami ke tempat pameran. Berkenalan dengan seorang adik. Lupa namanya tapi ada ambil gambar dengan dia, dibawah 'hanging rock of Mesilau'. Berumur 19 tahun, dia adalah guide ke Puncak Kinabalu melalaui Mesilau Trail.

Dah berapa kali naik ?
Sudah tidak boleh kira, bah !


Kami pakat-pakat, mau pergi Nature Walk. Seorang guide, bernama Encik Sakibin akan membawa kami. Panggil saya, Mr.Bean. Baik dan ramah orangnya. Jarang sekali bah, orang tempatan mahu memanjat. Dia juga hairan tengok Nana (my 6 yr old daughter) pun ikut serta. Tak per, kami keluarga outdoor. Kalau dalam hutan, kami okay. Kami tak okay di bandar, tempat besar sahaja. Maklum, orang kampung.

Memanjat dan berjalan tepi lereng tu agak mencabar. Salah kasut pulak tu, saya pakai futsal :)

Mesilau terkenal dengan orchidnya dan periuk kera (much, much bigger than KLD's- boleh serkup kepala, buat topi). Oleh kerana terlalu tinggi, kawasannya diliputi oleh 'moss' (lumut ?). Kena jalan berhati-hati sebab licin. Kami dikenalkan oleh Mr. Bean satu tumbuhan yang dipanggil 'Little Angel Trumpet'. Orang tempatan menggunakannya untuk mengubat barah payudara. Ianya ditumbuk dan lekatkan di tempat yang ada barah itu. Ubatan ini akan menyedut keluar barah.

Kami banyak bertanya dan Mr. Bean seronok dengan kami. Akhirnya, Nature Walk yang sepatutnya 1 jam jadi 2 jam dan kami memanjat sehingga 2050 kaki atas paras laut. Seram juga bila pandang bawah nampak sungai Mesilau sayup gitu. Yang lasak, anak-anak. Selamba sahaja, bagaikan tak tahu penat. Saya, dah rasa macam nak pengsan. Melintasi jambatan gantung, memanjat tepi-tepi lereng, melihat base camp penyelidik-penyelidik zaman dahulu, lihat burung-burung kecil dan pemandangan cantik Puncak Kinabau dari dekat, akhirnya kami turun semula ke Pejabat Ranjer.

Dapatkan sijil memanjat dari Park Warden. Dia yang baik, melayan kami. Suka dia tengok Nana yang kecil tapi berjaya memanjat tanpa bantuan. Dia jalan sendiri, paling depan bersama Mr. Bean. Ucapkan terima kasih pada Mr. Bean.

Bye-bye Mesilau !

Singgah lagi di Kundasang, membeli sayur-sayuran. Segar-segar walaupun harganya biasa sahaja. Nana minta belikan bunga, tapi di sini bunga mahal tak seperti di Cameron Highland. Beli cauliflower, leeks, pucuk timun (pertama kali jumpa), broccoli, sayur licin dan sayur manis (2 sayur akhir ni, tak pernah jumpa di Melaka).

Lepas beli sayur, Li kata jom ke Kinabalu Park lagi untuk lunch. Makan lagi :) Portion besar giler lagi :) Tambah tembamlah saya ! Rugi sahaja bakar 2 kg di Mesilau.

To be continued ...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...