Pls click my sponsor

Sebutharga Kem Lambaian Danau

Sila Penuhkan Borang Untuk Mendapatkan Sebutharga Dari Kami. KLIK Sini Untuk Ke Borang!

Friday, February 13, 2004

And what's wrong with my post ???

Al-Fatihah
Kehilangan lagi. Ayah, Haji Osman bin Ali telah kembali ke rahmatullah pukul 9 malam, 10 Februari 2004. Ayah ? Bukankah Ayah saya telah lama pergi ?

Yang ni, Ayah yang bela kami adik-baradik. Mak dulu bekerja dan walaupun rumah ada pembantu tapi Kak Mah kami anak dara, Mak tak percaya dia untuk jaga kami. Jadi kami dihantar ke rumah Ayah Darat dan Mak Darat. Merekalah yang jaga kami. (*** Darat dan baruh merupakan panggilan tempat untuk orang Melaka. Selalunya mukabumi tempat yang dipanggil darat tu lebih tinggi dari baruh)

Selain dari kami 3 beradik, ada satu lagi keluarga juga menghantar anak-anak mereka ke rumah ni. 2 beradik - Abang Zul dan Abang Kamal. Anak-anak Ayah Darat sendiri - Kak Long, Abang, Kak Chik dan Rubiah.

Jadilah kami sebuah keluarga besar. Saya punya ramai abang, ramai kakak. Ayah dan Mak Darat pun mengasihi kami seperti anak-anak sendiri. Tiada beza anak sendiri dan anak yang dibela.

Yang menjadi kenangan sekali ialah kuah sate dan roti paun. Masa tu Ayah Darat kerja di Pejabat Daerah, pangkat rendah, gaji pun kecil. Walaupun keluarga kami membayar pada Mak darat upah menjaga tapi banyak mana benarlah upahnya. Oleh sebab duit tak banyak, dengan kami semua yang kuat makan. Ayah Darat tak mampu selalu beli sate untuk kami walaupun itu makanan kegemaran. Jadi dia akan beli kuah sate dan roti paun. Kami makan roti bercicahkan kuah sate tu. Hari ni kami semua telah mampu beli sate bila-bila saje kami nak. Tapi keseronokan berebut-rebut, bergaduh-gaduh makan roti cicah kuah sate hingga menjilat pinggan tu tiada bandingannya.

Benarlah kata bidalan, bila ada tidak reti nak menghargai. Seperti juga Ayah Darat. Masa hidupnya saya tidak pernah memberitahu dia saya sayangkan dia, seperti dia sayangkan saya waktu kecil saya. Hari Raya Puasa lepas saya sakit, dan tidak pergi ke rumahnya. Jadi, saya tidak bersalam dengannya. Raya Aidil Adha pulak, gatal beraya di Kem. Tidak pergi juga ke rumahnya. Adakah dia memaafkan kesalahan saya selama ini ? Halalkan makan dan minum saya selama ini ? Saya kesal, tidak begitu memperdulikan Ayah. Sebab saya rasa, Ayah tough, Ayah tidak sakit-sakit macam Mak Darat. Dan Ayah akan selalu ada untuk kami.

Malam 10 Februari tu, saya dan anak-anak sedara (cucu Allahyarham) mengemas rumah dan bersiap-siap menunggu ketibaan jenazah ke rumah. Sebelum tu memujuk Mak yang tidak percaya Ayah telah tiada. Ayah Darat meninggal di klinik Naha, yang dekat dengan rumah kami. Senangnya dia pergi, lepas check-up, jalan sendiri ke kereta Rubiah. Duduk dan hembus nafas terakhir. Ayah tak sakit pun ! Kami langsung tak berpeluang menjaga Ayah.

Jenazah dibawa balik macam tu jer. Dengan duduk di kerusi depan. Abang, Abang Mail dan Aizad yang mengangkat Ayah. Kak Long dah menangis. Saya cuba menyabarkan dia tapi saya pun sama. Rubiah tidak boleh berjalan lagi. Semuanya terperanjat sebab tidak sangka Ayah pergi. tapi bukankah kita ni hakNya, bila masa dan macam mana kita pergi semuanya itu ketentuanNya jua.

Allah hu Akbar. Sedih sangat bila buka jam tangan Ayah. Tangannya macam biasa. Tidak sejuk. Saya pegang sedikit tangannya. Tangan itu pernah menyuap makanan kemulut saya dan tangan itu juga pernah merotan saya kalau saya dan abang-abang degil. Saya teringin nak memeluk tubuh yang sangat sayangkan saya waktu saya kecil dulu. Tidak boleh. Kerana dia bukan Ayah kandung saya. Bukan muhrim saya. Walaupun hubungan kami bagaikan ayah dan anak kandung.

Kami semua adik beradik - anak-anak kandungnya, abang Zul, abang Kamal, saya, Nan dan Ida semua ada. Sudah lama benar kami tidak berkumpul beramai-ramai begitu. Abang Kamal sudah 16 tahun menjauhkan diri. Dia kawin tanpa restu keluarga. Dan dia bawa diri. Menyesal sebab bila balik Ayah sudah tiada.

Dan semalam hari terakhir untuk kami semua berbakti kepada Ayah Darat. Anak-anak, menantu dan cucu-cucu semua yang menguruskan jenazah. Tidak terbalas jasa Ayah, kasih-sayang yang diberi dan jasanya membesarkan kami. Pengajaran untuk kami. Supaya memberi perhatian kepada Mak Darat. Walaupun mereka bukan ibubapa kandung, mereka mengasihi kami seperti anak sendiri. Kasih-sayang dan didikan mereka juga sedikit sebanyak menjadikan saya, saya yang dewasa ini.

Apapun saya bersyukur, saya manusia yang tidak ketandusan kasih-sayang. Semoga dengan kasih-sayang dan didikan baik yang saya terima akan membuat saya manusia yang baik, yang pandai mengasihi sesama insan.


Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raajiuun.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...